Wednesday, 1 April 2015

LATAR BELAKANG DAN SEJARAH SEKOLAH


          Sekolah Kebangsaan Serting (FELDA) telah ditubuhkan pada 1 Januari 1983 mengikut surat bil(63) dlm. JPNS P/3691. Tarikh ini merupakan detik sejarah yang tidak dapat dilupakan oleh masyarakat Felda Gugusan Serting khususnya peneroka-peneroka yang baru menduduki tanah Felda ini.

          Pada awal penubuhannya, sekolah ini hanya mempunyai bangunan sementara iaitu terdiri dari 6 buah rumah peneroka di atas keluasan lebih kurang 7 ekar tanah. Walaupun keadaan dan suasana bilik darjah yang kurang selesa tetapi masyarakat di sini tetap bersyukur sekurang-kurangnya anak-anak mereka masih mempunyai tempat untuk menimba ilmu.

          Encik Abu Hassan bin Sidik, telah mendaftarkan diri selaku peneraju pertama (Guru Besar SK. Serting Felda) pada 1 Januari 1983. Beliau merupakan anak jati Negeri Sembilan, yang dilahirkan pada tahun 1943 di Kg. Perahu, Kuala Pilah. Mendapat pendidikan formal hingga ke peringkat ’Federation Malaya Certificate (FMC)’ dan seterusnya mendapat Sijil Perguruan (DTC Kuala Lumpur) pada tahun 1965. Beliau berpengalaman mengajar di beberapa buah sekolah di sekitar Kuala Pilah dan Rembau, Negeri Sembilan.

          Sekolah ini mula beroperasi dengan jumlah gurunya seramai 4 orang sahaja termasuk seorang guru agama dengan bilangan murid seramai 35 orang yang telah mendaftarkan diri pada 3 Januari 1983 seperti berikut:
                                    Darjah 1           -        15 orang
                                    Darjah 2           -         8 orang
                                    Darjah 3           -         6 orang
                                    Darjah 4          -         3 orang
    Darjah 5          -         2 orang
                                    Darjah 6           -         1 orang
                                    Jumlah             -         35 orang

          Guru Besar ketika itu, terpaksa berunding dan meminta kerjasama dari sekolah Kebangsaan Sg. Lui untuk mendapatkan sedikit perabot.
                                                                            
          Pada tahun 1984 jumlah murid mula bertambah menjadi 315 orang dan seramai 7 orang tenaga pengajar. Dari tahun ke tahun sekolah ini mula berkembang dari segi bilangan murid dan guru, sehinggalah pada tahun 1987 di mana bilangan murid-muridnya mencecah kepada 1 161 orang dan guru pula seramai 39 orang. Peningkatan yang paling ketara sekali ialah pada tahun 1989,  murid-murid sekolah bertambah kepada 1 713 orang dan jumlah tenaga pengajar seramai 59 orang. Keadaan ini memaksa pihak sekolah mengadakan dua sesi persekolahan iaitu sesi pagi dan petang.
          Pada tahun 1988, sekolah ini berasa amat bertuah kerana sebuah bangunan tiga tingkat telah mula dibina untuk menampung pertambahan murid dan juga bilik-bilik khas yang diperlukan. Malangnya semasa proses pembinaan bangunan ini yang separuh siap itu, terpaksa pula diruntuhkan kerana tidak menepati ’standard piawaian’ yang ditetapkan.

          Pihak Felda juga telah berusaha untuk memberi keselesaan kepada warga sekolah dan anak-anak didik di sini, di mana sebuah bangunan baru yang mengandungi 6 buah bilik darjah dibina pada tahun 1989. Pada tahun yang sama murid-murid sekolah ini telah dipecahkan kepada dua buah sekolah yang baru dibuka iaitu Sek.Keb.Serting 3 (Felda) dan Sek.Keb.Bandar Baru Serting yang letaknya lebih kurang 1 hingga 2 kilometer sahaja di antara satu sama lain.

          Sementara itu, bangunan baru tiga tingkat yang dibina pada tahun 1988 hanya dapat diduduki pada sesi persekolahan 1990/91.

          Awal  sesi persekolahan 1990, Encik Abu Hassan bin Sidik selaku Guru Besar yang pertama telah bertukar dan diganti pula oleh Tuan Haji Abd. Majid bin Ujang, yang telah mendaftarkan diri pada 2 Januari 1990 melalui surat Bil.(193) dlm. JPNS. Beliau meneruskan usaha-usaha untuk mengatasi apa sahaja masalah di samping meningkatkan kemajuan di sekolah ini bersama-sama warga sekolah yang lain.

          Tuan Haji Abd. Majid bin Ujang bertugas dan memikul tanggungjawab sebagai Guru Besar di sekolah ini selama 2 tahun lebih sahaja. Kemudian beliau diganti pula oleh Puan Fatimah bt. Sihi yang telah mendaftarkan diri pada 16 September 1992. Beliau yang berkelulusan STP di peringkat sekolah dan berjaya mendapatkan Diploma Pengurusan Pendidikan pada 1995/96 telah melakukan banyak perubahan dan kemajuan di  sekolah ini. Sebelum bertugas sebagai Guru Besar di sekolah ini, beliau pernah bertugas sebagai Guru Penolong, GPK HEM dan Guru Besar di sekolah-sekolah dalam Negeri Sembilan.

          Semasa sekolah ini di bawah pentadbiran beliau selama 8 tahun, berbagai dugaan dan cabaran yang dilalui tetapi berkat usaha dan kecekalan beliau bersama guru-guru dan kakitangan sekolah ini, tahun demi tahun sekolah ini mula mengorak langkah dan kejayaan demi kejayaan dicapai, baik di bidang akademik mahu pun bukan akademik. Boleh dikatakan kawasan sekolah yang kosong dan kurang terurus kini bertukar menjadi taman-taman ilmu yang cantik dan amat bermakna sekali dalam membantu kepada proses pengajaran dan pembelajaran murid-murid dan guru-guru di sekolah ini. Semua bilik-bilik khas terus dimantapkan dengan keceriaan dan kreativiti warga sekolah atas sokongan dan kerjasama beliau, PIBG, pihak pengurusan Felda, unit-unit khas di daerah ini, Wakil Rakyat dan masyarakat setempat. Kesungguhan, daya usaha dan kreativiti terbongkar dari urat nadi semua guru di bawah pentadbirannya.

         
Pada 3 Januari 2001, Encik Kamarol Zaman bin Othman pula telah melapor diri menggantikan Pn. Fatimah bt. Sihi. Kini tugas beliau pula meneruskan kecemerlangan SKSF. Hasilnya SKSF berjaya dinobatkan tempat Ke – 3 Anugerah Kualiti Menteri Pendidikan (AKMP) pada tahun 2005 dalam kategori Sekolah Rendah Luar Bandar.

          Tunggak pentadbiran bertukar lagi pada tahun 2005, di mana Pn. Kamariah bt. Yazid tiba membawa semangat dan perjuangan yang tiada penghujungnya. Segala rancangan dimantapkan dan berlansung dengan pesat.


          Pn. Kamariah bt. Yazid tidak lama di SKSF. Pada tahun 2007, peneraju digantikan pula oleh Pn. Hjh. Noraini bt. Ahmad. Kini beliaulah yang akan meneruskan perjuangan dan berganding bahu dengan seluruh warga sekolah ini untuk terus maju dan berjaya dalam bidang akademik dan bukan akademik, demi agama bangsa dan negara tercinta.


Hasilnya, pelbagai kejayaan dikecapi oleh pihak sekolah bukan sahaja di peringkat negeri malahan juga di peringkat kebangsaan. Antaranya, anugerah tempat kedua Pusat Sumber Cemerlang Peringkat Kebangsaan 2008 kategori Sekolah Rendah Luar Bandar, Anugerah Pusat Sumber Terbilang Peringkat Negeri Sembilan 2008, Anugerah Pejabat dan Bilik Guru Terbilang Negeri Sembilan 2008 dan Anugerah Kokurikulum Terbilang Negeri Sembilan 2008, sempena Hari Kualiti Jabatan Pelajaran Negeri Sembilan yang diadakan pada 16 Disember 2008 yang lalu. Tahniah kepada semua warga sekolah. 

No comments:

Post a Comment