Sekolah
Kebangsaan Serting (FELDA) telah ditubuhkan pada 1 Januari 1983 mengikut surat
bil(63) dlm. JPNS P/3691. Tarikh ini merupakan detik sejarah yang tidak dapat
dilupakan oleh masyarakat Felda Gugusan Serting khususnya peneroka-peneroka
yang baru menduduki tanah Felda ini.
Pada
awal penubuhannya, sekolah ini hanya mempunyai bangunan sementara iaitu terdiri
dari 6 buah rumah peneroka di atas keluasan lebih kurang 7 ekar tanah. Walaupun
keadaan dan suasana bilik darjah yang kurang selesa tetapi masyarakat di sini
tetap bersyukur sekurang-kurangnya anak-anak mereka masih mempunyai tempat
untuk menimba ilmu.
Encik
Abu Hassan bin Sidik, telah mendaftarkan diri selaku peneraju pertama (Guru
Besar SK. Serting Felda) pada 1 Januari 1983. Beliau merupakan anak jati Negeri
Sembilan, yang dilahirkan pada tahun 1943 di Kg. Perahu, Kuala Pilah. Mendapat
pendidikan formal hingga ke peringkat ’Federation Malaya Certificate (FMC)’ dan
seterusnya mendapat Sijil Perguruan (DTC Kuala Lumpur) pada tahun 1965. Beliau
berpengalaman mengajar di beberapa buah sekolah di sekitar Kuala Pilah dan
Rembau, Negeri Sembilan.
Sekolah
ini mula beroperasi dengan jumlah gurunya seramai 4 orang sahaja termasuk
seorang guru agama dengan bilangan murid seramai 35 orang yang telah
mendaftarkan diri pada 3 Januari 1983 seperti berikut:
Darjah 1 - 15 orang
Darjah
2 - 8 orang
Darjah
3 - 6 orang
Darjah 4 - 3 orang
Darjah 5 - 2 orang
Darjah 6 - 1 orang
Jumlah - 35 orang
Jumlah - 35 orang
Guru Besar ketika itu, terpaksa
berunding dan meminta kerjasama dari sekolah Kebangsaan Sg. Lui untuk
mendapatkan sedikit perabot.
Pada
tahun 1984 jumlah murid mula bertambah menjadi 315 orang dan seramai 7 orang
tenaga pengajar. Dari tahun ke tahun sekolah ini mula berkembang dari segi
bilangan murid dan guru, sehinggalah pada tahun 1987 di mana bilangan
murid-muridnya mencecah kepada 1 161 orang dan guru pula seramai 39 orang.
Peningkatan yang paling ketara sekali ialah pada tahun 1989, murid-murid sekolah bertambah kepada 1 713
orang dan jumlah tenaga pengajar seramai 59 orang. Keadaan ini
memaksa pihak sekolah mengadakan dua sesi persekolahan iaitu sesi pagi dan
petang.
Pada
tahun 1988, sekolah ini berasa amat bertuah kerana sebuah bangunan tiga tingkat
telah mula dibina untuk menampung pertambahan murid dan juga bilik-bilik khas
yang diperlukan. Malangnya semasa proses pembinaan bangunan ini yang separuh
siap itu, terpaksa pula diruntuhkan kerana tidak menepati ’standard piawaian’
yang ditetapkan.
Pihak
Felda juga telah berusaha untuk memberi keselesaan kepada warga sekolah dan
anak-anak didik di sini, di mana sebuah bangunan baru yang mengandungi 6 buah
bilik darjah dibina pada tahun 1989. Pada tahun yang sama murid-murid sekolah
ini telah dipecahkan kepada dua buah sekolah yang baru dibuka iaitu
Sek.Keb.Serting 3 (Felda) dan Sek.Keb.Bandar Baru Serting yang letaknya lebih
kurang 1 hingga 2 kilometer sahaja di antara satu sama lain.
Sementara
itu, bangunan baru tiga tingkat yang dibina pada tahun 1988 hanya dapat
diduduki pada sesi persekolahan 1990/91.
Awal sesi persekolahan 1990, Encik Abu Hassan bin
Sidik selaku Guru Besar yang pertama telah bertukar dan diganti pula oleh Tuan
Haji Abd. Majid bin Ujang, yang telah mendaftarkan diri pada 2 Januari 1990
melalui surat Bil.(193) dlm. JPNS. Beliau meneruskan usaha-usaha untuk
mengatasi apa sahaja masalah di samping meningkatkan kemajuan di sekolah ini
bersama-sama warga sekolah yang lain.
Tuan
Haji Abd. Majid bin Ujang bertugas dan memikul tanggungjawab sebagai Guru Besar
di sekolah ini selama 2 tahun lebih sahaja. Kemudian beliau diganti pula oleh
Puan Fatimah bt. Sihi yang telah mendaftarkan diri pada 16 September 1992.
Beliau yang berkelulusan STP di peringkat sekolah dan berjaya mendapatkan
Diploma Pengurusan Pendidikan pada 1995/96 telah melakukan banyak perubahan dan
kemajuan di sekolah ini. Sebelum
bertugas sebagai Guru Besar di sekolah ini, beliau pernah bertugas sebagai Guru
Penolong, GPK HEM dan Guru Besar di sekolah-sekolah dalam Negeri Sembilan.
Semasa
sekolah ini di bawah pentadbiran beliau selama 8 tahun, berbagai dugaan dan
cabaran yang dilalui tetapi berkat usaha dan kecekalan beliau bersama guru-guru
dan kakitangan sekolah ini, tahun demi tahun sekolah ini mula mengorak langkah
dan kejayaan demi kejayaan dicapai, baik di bidang akademik mahu pun bukan
akademik. Boleh dikatakan kawasan sekolah yang kosong dan kurang terurus kini
bertukar menjadi taman-taman ilmu yang cantik dan amat bermakna sekali dalam
membantu kepada proses pengajaran dan pembelajaran murid-murid dan guru-guru di
sekolah ini. Semua bilik-bilik khas terus dimantapkan dengan keceriaan dan
kreativiti warga sekolah atas sokongan dan kerjasama beliau, PIBG, pihak
pengurusan Felda, unit-unit khas di daerah ini, Wakil Rakyat dan masyarakat
setempat. Kesungguhan, daya usaha dan kreativiti terbongkar dari urat nadi
semua guru di bawah pentadbirannya.
Pada 3 Januari
2001, Encik Kamarol Zaman bin Othman pula telah melapor diri menggantikan Pn.
Fatimah bt. Sihi. Kini tugas beliau pula meneruskan kecemerlangan SKSF.
Hasilnya SKSF berjaya dinobatkan tempat Ke – 3 Anugerah Kualiti Menteri
Pendidikan (AKMP) pada tahun 2005 dalam kategori Sekolah Rendah Luar Bandar.
Tunggak
pentadbiran bertukar lagi pada tahun 2005, di mana Pn. Kamariah bt. Yazid tiba
membawa semangat dan perjuangan yang tiada penghujungnya. Segala rancangan dimantapkan dan
berlansung dengan pesat.
Pn. Kamariah bt. Yazid tidak lama
di SKSF. Pada tahun 2007, peneraju digantikan pula oleh Pn. Hjh. Noraini bt.
Ahmad. Kini beliaulah yang akan meneruskan perjuangan dan berganding bahu
dengan seluruh warga sekolah ini untuk terus maju dan berjaya dalam bidang
akademik dan bukan akademik, demi agama bangsa dan negara tercinta.
Hasilnya,
pelbagai kejayaan dikecapi oleh pihak sekolah bukan sahaja di peringkat negeri
malahan juga di peringkat kebangsaan. Antaranya, anugerah tempat kedua Pusat
Sumber Cemerlang Peringkat Kebangsaan 2008 kategori Sekolah Rendah Luar Bandar,
Anugerah Pusat Sumber Terbilang Peringkat Negeri Sembilan 2008, Anugerah
Pejabat dan Bilik Guru Terbilang Negeri Sembilan 2008 dan Anugerah Kokurikulum
Terbilang Negeri Sembilan 2008, sempena Hari Kualiti Jabatan Pelajaran Negeri
Sembilan yang diadakan pada 16 Disember 2008 yang lalu. Tahniah kepada semua
warga sekolah.